Semulus Hatimu Durrah

Mengapakah kegembiraan itu harus di gambarkan dengan objek. Bukankah kegembiraan itu satu rasa yang abstrak dan subjektif?. Tiada kata-kata ataupun objek yang boleh menggambarkannya sehingga kini.

Fityah tersenyum apabila melihat sepasang suami isteri yang sedang pening kepala memikirkan perihal anak perempuannya.

Durrah, nama yang Fityah dengar dari mulut si isteri ketika memujuk gadis kecil yang comel metah. Gadis comel itu sedang menjeruk rasa lantaran mama dan papanya menolak kehendaknya.

“Bukankah esok ‘birthday’ Durrah, mengapa Durrah tidak boleh pilih kek aiskrim tu?. Mama dan papa mungkir janji lagi.”

Wajah Durrah sudah cemberut seribu.

“ Bukannya akak tak nak beli tetapi Durrah ada asma. Aiskrim dan ais menjadi pantang baginya,”

Si Isteri yang membahasakan dirinya akak memberi alasan ketegaran mereka untuk membeli kek aiskrim untuk Durrah kepada Fityah. Mungkin untuk menutup rasa malu lantaran telah dituduh mungkir janji oleh anaknya sendiri.

“Adik, apa kata adik cuba ‘black forest’ atau ‘blueberry’. Rasa krimnya seperti aiskrim tau.”

Durrah menarik muka lagi apabila Fityah mula menghamparkan kata pujukan. Wah nampaknya budak cilik ini tidak mudah dipujuk rayu dan tidak makan dipujuk.
“Akak, ‘black forest’ dan blueberry’ bukannya kek aiskrim. Rasanya tak kan sama.” Petah sungguh Durrah membalas kata Fityah.
Siapa kata kanak-kanak mudah ditipu?. Budak zaman millenium ini biasanya lebih cepat dewasa dari usianya. Lihat sahaja Durrah ini, tahu membezakan rasa kek yang sebenar walhal Fityah cuba untuk membelit kata. Fityah jadi malu sendiri.
“ Tak apalah dik. Durrah ni memang macam ni. ‘Birthday’nya esok tetapi sudah sibuk memilih kek untuk majlisnya. Sedangkan kita sendiri belum lagi merancangnya”

Fityah tersenyum kelat mendengar kata-kata mama Durrah. Sukar juga mengheret Durrah keluar dari kedai ini kerana gadis cilik itu keras kepala benar.
Mempunyai anak yang pintar dan petah seperti Durrah ini merupakan satu anugerah dan dugaan juga kepada ibu bapa. Anugerah kerana dikurniakan anak yang terang hati dan cepat memahami apa yang kita ajar tetapi menjadi dugaan apabila kepintarannya seiring dengan sikap keras kepala.

Mengapa nilai kegembiraan itu sama harga nilai sebuah kek yang tidak seberapa?. Untuk Fityah yang tidak pernah meraikan hari lahirnya sering kehairanan melihat pelanggannya sanggup bersusah payah menghabiskan berpuluh-puluh ringgit untuk membeli kek yang pe?????????
Wajah Durrah yang cemberut terus sirna dari fikiran Fityah lantaran kesibukannya melayan pelanggan. Ramai sungguh pelanggan pada hari ini. Tidak menang tangan Fityah dibuatnya.

“”Fityah..” Arina yang bersuara lunak itu memanggilnya di kaunter bayaran. Melihat wajah Arina yang menagih simpati itu , Fittyah terus sahaja dapat menangkap tujuan panggilannya.

Tentu sahaja Fityah yang dikerah menulis ayat di atas kek tersebut. Arina selalu sahaja merungut tulisannya comot dan herot-berot. Mana setanding dengan Fityah yang memang berdarah seni. Ada-ada sahaja alasan Arina yang pemalas tetapi baik hati itu.
“ Adik, kena bayaran tambahan tak kalau tambah tulisan.”
“Tentulah tidak.”

Wajah pelanggan di hadapan Fityah terus ceria. Fityah kira tentu pelanggan ini masih lagi pelajar. Bukankah pelajar sering sahaja kurang belanja dan merancang perbelanjaannya begitu ruwet berbanding orang yang bekerja.

“Arina, pemalas sungguh ya. Setakat tulisan Happy Birthday pun culas mahu membantu.” Fityah mula menyakat Arina yang sedang sibuk melipat kotak untuk kek selepas pelanggan itu berlalu pergi.

“ Ala Fityah, bukannya aku sengaja. Kau kan tahu tulisan aku tak seindah mana. Tentu pelanggan itu akan marah kalau aku yang menulis. Lainlah kau Fityah.”

Fityah tergelak sahaja. Tentu sahaja Fityah akan terkenang peristiwa Arina dimarah dengan teruk oleh pelanggan lantaran tulisan ‘happy birthday’ yang comot sungguh. Hampir sahaja Arina yang baru 2 minggu bekerja menitiskan air mata. Pelanggan itu memang cerewet orangnya. Mula-mula hampir satu kedai di jelajahnya. Sibuk bertanya jenis kek yang paling sedap. Akhirnya dia memilih kek yang paling murah sekali. Alih-alih di komen pula dekorasi kek itu yang tidak seindah mana. Tentulah dekorasinya biasa sahaja setaraf dengan harganya. Ada-ada sahaja pelanggan perempuan itu. Bisingnya ibarat tin kosong yang bingit.

“iya la. Tetapi kau itu yang culas belajar. Bagaimana kalau ada pelanggan yang meminta membuat tulisan di kala aku rehat?. Tentu kelam-kabut jadinya.”
“Aku suruh dia tulis sendiri.”

Fityah langsung mencubit pinggang Arina. Arina menjerit kesakitan tetapi tidak dibalas seperti selalu. Sekadar membalas dengan senyuman nakal.
Arina selalu sahaja hilang sabar apabila berdepan dengan pelanggan. Kesabarannya ibarat selapis minyak di atas air. Mudah sangat terpisah antara molekul-molekulnya apabila di usik. Hatinya senang sahaja tersinggung dan terguris apabila melayan pelanggan.

Melayan pelanggan sememangnya meletihkan emosi dan mental. Jika pelanggan itu berbudi bahasa, pasti hati Fityah mudah menguntum ria apabila melayan mereka. Tetapi hendak mencari pelanggan sebegitu ibarat satu dalam seribu. Yang berduyun tiba hanyalah pelanggan yang meruwetkan fikran jurujual sahaja.

Bukankah jurujual juga manusia yang punya hati dan perasaan?. Apa agaknya perasaan mereka jika ditakdirkan suatu hari mereka berada di tempat kami. Komen Fityah di dalam hati apabila berhadapan dengan pelanggan yang sebegitu.

Semenjak menjadi jurujual ini, Fityah banyak mempelajari sifat sabar dan bertimbang rasa terhadap manusia lain. Dan tentunya sikap berbudi bahasa terhadap setiap jurujual yang ditemui.
“ Langit mendung la Fityah. Tentu hujan akan turun..”
Fityah mengangguk mengiyakan rungutan Arina. Aduhai hujan akan turun lagi.

Semestinya pelanggan tidak ramai tika hujan-hujan begini. Fityah tidak suka jika tiada pelanggan berbanding Arina. Terasa masa berlalu berpuluh-puluh kali ganda lebih lambat dari biasa. Fityah akan jadi seperti pungguk yang rindukan rembulan.
Apabila pelanggan masuk sahaja ke dalam kedai, Fityah akan sambut dengan senyuman yang manis. Senyuman itukan sedekah. Lalu Fityah akan melayan mereka bak raja di keraton. Bukankah pelanggan itu sendiri ibarat raja yang perlu ditatang bagai minyak yang penuh?. Kemahiran komunikasi Fityah juga semakin meningkat lewat kebelakangan ini.

“Banyaknya roti yang tidak terjual lagi. Tentu malam ini kita terpaksa membuang roti lagi.”

Tiba-tiba Fityah bersuara apabila melihat masih banyak lagi roti yang tersusun indah di dalam talam.

Arina yang sedang menukar talam merenungnya.
“Iyalah Fityah. Rugi betul kan?.”

Rugi??. Tentulah itu jawapan bagi peniaga. Tetapi bagi insan biasa seperti Fityah, dia lebih senang menggunakan frasa membazir kerana lebih tepat maknanya. Membazir itu amalan yang seharusnya kita jauhi. Tetapi kadang-kala Fityah rasa dia juga turut menyumbang saham subahat apabila diarahkan berbuat demikian walaupun bukan dia yang hendak membuangnya.

“Alangkah baiknya jika boss mendermakan roti-roti ini kepada fakir miskin atau mereka yang lebih memerlukan daripada membazir sedemikian rupa.” keluh Fityah perlahan tetapi cukup didengari oleh Arina.

“ Iyalah kita senang-senang sahaja membuang roti-roti ini sedangkan diluar sana entah berapa ramai yang sedang menahan perut atau mati kebuluran.” Arina menyambung keluhan Fityah.

“ Prosedur syarikat. Kita nak buat macam mana. Setiap hari kita hendaklah menjual roti yang baru sahaja. Pelanggan mana mahu makan roti-roti yang semalam atau kelmarin. Tidak berbaloi dengan harga yang mereka bayar”

Masing-masing terdiam untuk seketika sebelum pintu kedai dikuak oleh pelanggan. Sepasang suami isteri itu kembali lagi. Lantas wajah Durrah bergemirap di dalam fikran Fityah. Durrah yang pintar tetapi keras hati.

“ Maaf ya. Durrah tidak mahu pulang selagi tidak melihat kek aiskrimnya untuk kali terakhir.” Si isteri terkerisin malu apabila Fityah menyapanya.

Kali terakhir?. Wah!! Durrah ini ada-ada sahaja untuk memujuk mamanya. Durrah terus menarik tangan mamanya untuk melihat kek aiskrim impiannya.

“ Mama, Durrah hendak kek ini juga.” Mata Durrah sudah memerah menahan tangisan. Kasihan sungguh Fityah melihatnya. Anak kecil ini begitu tegar dengan kemahuannya.
“ Durrah tengok dulu ya kek aiskrim ini. Esok bawa mama datang beli ya.” Fityah membuka pintu peti ais dan membiarkan Durrah meneliti kek impiannya. Mata Durrah terbuka dengan penuh kegirangan. Kek Aiskrim yang dihiasi buah-buahan itu benar-benar menguja Durrah. Hirisan mangga yang diseliti buah strawberri, buah anggur dan kiwi serta tidak ketinggalan buah pic di atas kek tersebut seakan memanggil Durrah untuk menikmati walaupun sebenarnya terlarang.

Durrah merenung Fityah sebentar untuk menagih simpati. Kemudian memandang mama dan papanya meminta belas kasihan. Lansung beberapa ketika sinar matanya berubah. Fityah kehairanan melihat anak kecil ini.

Tiba-tiba Durrah berlari pantas ke muka pintu dengan membawa lari kek aiskrim impiannya bersama.

“Durrah, jangan bawa kek itu!!.”

Jeritan Fityah tidak diendahkan sebaliknya Durrah gesit berlari membawa kek tersebut. Mama dan papa Durrah mengejar Durrah yang semakin hampir ke jalan besar sambil tidak berhenti-henti menjerit nama Durrah.
Seketika kemudian, Fityah terdengar suara Durrah menjerit kesakitan berbaur dengan bunyi tayar kereta berhenti.

“Durrah............” jerit Fityah sekuat hatinya apabila melihat tubuh kecil Durrah dilanggar oleh kereta dalam hujan renyai itu.

Fityah terjelepok di muka pintu sambil terkedu melihat tangan Durrah yang kejap memegang kek aiskrim impiannya. Darah mengalir tidak berhenti-henti dari kepala Durrah yang dipangku oleh mamanya. Mama Durrah meraung di tepi jalan itu sambil memegang anaknya, Durrah. Memanggil nama Durrah yang telah tertutup matanya.

Kek aiskrim yang sedap dan cantik itu adakah setanding dengan nyawa Durrah itu sayang?.
Kek aiskrim yang berada dalam pelukan Durrah itu apakah boleh membayar kehilangan nyawamu sayang?.
Apakah nilai kegembiraanmu memegang kek aiskrim itu dan melarikannya setanding dengan pengorbananmu sayangku Durrah?.

Dalam titisan air hujan rahmat petang itu turut menyaksikan air mata Fityah yang turut mengalir menangisi nasib si kecil yang meruntun pilunya. Lantas tudung sahabatnya, Arina basah dengan air matanya. Dan apakah tangisan mereka mampu lagi didengari oleh si kecil molek, Si Durrah?.
Share:

No comments:

Post a Comment

Mohd Daharudin Haji Daud
×
_

Anda boleh menulis mesej atau pesanan di sini & jangan lupa like page saya... Terima kasih.

Followers

Popular Posts

Post Terkini